Tuesday, June 7, 2011

Karangan ; Bahagian A


RAMALAN STPM 2011
BAHAGIAN A: ESEI DISIPLIN SASTERA


ISU: PENGGUNAAN BLOG / INTERNET

Fenomena blog semakin mendapat perhatian sejak akhir-akhir ini di negara kita. Pelbagai jenis blog wujud di alam maya. Ada blog yang cenderung kepada kebaikan dan tidak kurang pula yang membawa kepada keburukan kepada masyarakat di negara kita. Bincangkan.


          Blog merupakan laman sesawang yang isinya mengandungi tulisan-tulisan yang merupakan pandangan peribadi pemilik blog. Kebiasaannya blog bersifat komentar yang mana pembaca dan penulis boleh memberikan tanggapan isu yang ditulis. Kewujudan blog memang membawa banyak kebaikan dan juga keburukan kepada masyarakat di negara kita.

          Melalui blog, seseorang dapat menyuarakan pendapat tentang sesuatu isu yang berlaku. Idea dan bakat yang terpendam boleh diluahkan melalui tulisan-tulisan yang berkualiti. Dalam hal ini, kadang-kadang maklumat yang disuarakan dalam blog boleh diterima oleh masyarakat. Contohnya, jika kita berminat menulis rencana tentang isu-isu semasa tetapi tiada ruang untuk berbuat demikian, maka kita boleh menjadikan blog sebagai medan melahirkan idea. Tuntasnya, blog membantu kita dalam menyuarakan pandangan tentang sesuatu perkara.

          Selain itu, blog keusahawanan dapat membantu kita melahirkan lebih banyak usahawan internet yang berjaya di Malaysia. Sebagai contohnya, Irfan Khairi menjadi jutawan internet berkat dari kemahiran beliau menghasilkan blog berkaitan dengan perniagaan internet. Tambahan pula, dengan menggunakan blog tersebut kita boleh memberikan nasihat, dorongan, dan panduan berguna kepada individu yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan internet. Ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan sumber pendapatan.

          Walau bagaimanapun, blog yang disalahgunakan boleh membawa keburukan. Penularan budaya memfitnah menggunakan blog semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Fitnah yang tidak berasas dan sensitif seperti menyentuh tentang hak keistimewaan orang Melayu boleh mencetuskan masalah polarisasi kaum jika dibiarkan berlarutan. Terdapat segelintir penulis blog yang begitu berani mengkritik dan mempersoalkan ketuanan Yang di-Pertuan Agong yang menjadi simbol kedaulatan negara dalam blog mereka. Perkara seperti ini harus diberikan perhatian yang serius.

          Kritikan terhadap kerajaan yang memerintah dan para pemimpin di alam maya bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Pelbagai tohmahan dan hasutan serta cacian dilontarkan tanpa bukti yang kukuh dan jelas. Pembaca-pembaca blog pula mudah percaya akan perkara yang mereka baca dalam blog sehingga terpengaruh. Akibatnya, kredibiliti dan kewibawaan seseorang pemimpin dan kerajaan yang memerintah selalu dipersoalkan oleh masyarakat. Fenomena ini jika dibiarkan boleh menghuru-harakan negara kita.

          Konklusinya, blog harus digunakan ke arah kebaikan bukannya cenderung kepada keburukan. Sesungguhnya, banyak kemaslahatan yang dapat kita peroleh jika blog digunakan untuk menyalurkan maklumat yang berguna kepada masyarakat. Jadilah masyarakat yang matang dan berilmu demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 yang kita impi-impikan.




















ISU: GEJALA RASUAH

Gejala rasuah kian berleluasa dan semakin membimbangkan penduduk di negara kita kerana kesannya amat teruk kepada kesejahteraan negara serta keharmonian masyarakat. Bincangkan punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi gejala rasuah di Malaysia.


          Fenomena rasuah sering dikaitkan dengan istilah tumbuk rusuk atau makan suap. Konotasi ini membawa maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat. Negara yang mengamalkan rasuah sering mengalami kemunduran ekonomi. Fenomena sosial ini mempunyai pelbagai punca dan langkah yang efektif perlu dilaksanakan untuk menanganinya.

          Punca yang ketara ialah masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan. Masyarakat menganggap gejala rasuah bermaharajalela kerana kerajaan tidak bersikap telus terutama dalam aspek pemberian tender dan projek. Keadaan ini menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk mengambil wang secara haram. Ketiadaan sistem pemantauan yang berkesan menyebabkan ramai kakitangan awam terangsang untuk melakukan jenayah tersebut. Jelaslah, masalah ini berleluasa apabila tiada ketelusan dalam sistem tadbiran awam.

          Gejala rasuah ini turut merebak lantaran sikap masyarakat kita yang tidak peka dengan polemik masalah ini. Ada kalangan masyarakat yang menganggapnya sebagai asam garam kehidupan yang harus dialami. Persepsi sedemikian menyebabkan mereka menganggap tindakan mengambil rasuah dan memberi rasuah itu sudah menjadi satu kebiasaan. Maka, kurangnya pemahaman masyarakat terhadap gejala ini menyebabkan masalah ini menular secara pantas dalam masyarakat terutama yang tinggal di bandar-bandar besar.

          Kerajaan perlu membuktikan kesungguhan dalam menangani kemelut ini dengan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan mereka. Rakyat sedar ada pihak-pihak yang terlibat tetapi tidak dibawa ke muka pengadilan dan ini menimbulkan rasa tidak percaya rakyat kepada kerajaan. Kesungguhan kerajaan menyeret mereka ke mahkamah memberi satu peringatan kepada semua pihak. Sesungguhnya, tindakan tegas kerajaan mendakwa mereka yang terlibat memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang setimpal.

          Usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi satu kempen iklan yang efektif. Kempen yang dilancarkan itu mestilah menggunakan media massa secara holistik, iaitu daripada akhbar hinggalah ke internet. Ini bertujuan untuk memastikan semua khalayak masyarakat berfikir dua tiga kali sebelum mereka menerima rasuah. Jadi, kempen yang begitu mudah tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam memerangi amalan rasuah ini.

          Sebagai kesimpulannya, semua faktor dan langkah mengatasi kemelut sosial ini harus dipantau oleh semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigma masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku lebih awal dan diatasi hingga ke akar umbinya. Konsep mencegah lebih baik daripada mengubatinya amat berkesan dalam memastikan rasuah berkubur di tempat yang sepatutnya.
























ISU: BANJIR

Setiap kali menjelang hujung tahun kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia akan mengalami banjir. Bincangkan punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.


          Banjir ialah keadaan air yang menenggelami sesuatu kawasan atau tempat yang luas. Banjir besar yang berlaku di negara kita pada bulan Disember 2006 dan bulan Januari 2007 dianggap paling teruk dalam tempoh 100 tahun. Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan berlakunya banjir dan langkah-langkah yang wajar harus diambil bagi meminimumkan kesan banjir di negara kita.

          Pemusnahan hutan merupakan salah satu punca berlakunya banjir. Hutan menempatkan pelbagai jenis tumbuhan dan boleh dijadikan sebagai pengimbang ekosistem dunia dengan merendahkan kadar suhu. Pemusnahan hutan menyebabkan hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air mengalir dengan banyak ke sungai sedangkan sungai tidak dapat menampung air hujan dalam jumlah yang banyak. Seterusnya, limpahan air sungai akan berlaku dan mengakibatkan banjir.

          Pembuangan sisa domestik manusia juga boleh menyebabkan banjir. Aktiviti manusia yang suka membuang sisa-sisa domestik seperti sampah-sarap dan sisa-sisa industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai yang telah menjadi cetek akibat hakisan semula jadi atau pencemaran tidak dapat menampung atau mengalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya, air sungai akan melimpah ke tebing dan banjir akan berlaku.

          Oleh itu, pemeliharaan hutan merupakan cara terbaik untuk mengatasi masalah banjir. Hutan boleh dijadikan kawasan tadahan yang mampu menyerap air hujan daripada mengalir terus ke bumi. Hutan boleh berfungsi sebagai penapis dalam menentukan kebersihan dan kejernihan air. Hutan mampu menyerap air hujan pada kadar 20 peratus. Kemudian air hujan ini dibebaskan kembali ke atmosfera melalui sejatan pemeluwapan. Dengan cara ini pengurangan air hujan dapat dilakukan dan banjir dapat dielakkan.

          Bagi menangani masalah banjir ini, kesedaran kepada masyarakat perlu didedahkan supaya aktiviti negatif ini tidak terus dilakukan dengan mengadakan kempen mencintai sungai dan sebagainya. Badan-badan tertentu juga harus bertanggungjawab menentukan sungai sentiasa bersih dan tidak dijadikan tempat pembuangan sampah. Kejadian banjir merupakan malapetaka yang tidak dapat dielakkan terutamanya apabila membabitkan hujan lebat. Bagaimanapun, usaha sewajarnya harus dilakukan untuk mengurangkan masalah banjir.

          Natijahnya, banjir adalah bencana alam yang kerap dialami di seluruh dunia. Oleh itu, manusia yang mempunyai akal dan fikiran perlu berusaha untuk meminimumkan kesan banjir. Jika maslah banjir tidak diatasi dengan sewajarnya pelbagai malapetaka boleh berlaku semasa banjir.




























ISU: KEGANASAN RUMAH TANGGA

Masalah sosial yang paling kritikal dan hangat diperkatakan ialah masalah keganasan rumah tangga. Bincangkan punca-punca berlakunya masalah tersebut dalam masyarakat hari ini.


          Keganasan rumah tangga ditakrifkan sebagai tindakan ganas yang melibatkan fizikal yang dilakukan oleh suami terhadap isterinya sehingga membawa kemudaratan yang teruk. Tindakan penderaan fizikal ini boleh ditentukan melalui kesan-kesan calar, luka, lebam, dan patah yang dialami oleh seseorang isteri. Terdapat pelbagai faktor penyebab yang perlu difahami.

          Penularan polemik sosial ini boleh dikatakan berpunca daripada corak pemikiran masyarakat kita terutama kaum lelaki yang menganggap diri mereka sebagai ketua rumah yang mutlak. Semua arahan suami harus dipenuhi dan dilaksanakan dengan segera oleh isteri yang bakal menimbulkan kesan negatif jika gagal dibuat dengan sebaik mungkin. Sikap suami yang terlalu mendesak isteri mematuhi arahannya menyebabkan gejala negatif ini mudah berlaku. Jelaslah, sikap lelaki yang ego menjadi penentu kemelut ini terus berlaku.

          Meningkatnya tekanan kerja di pejabat menyebabkan ada golongan lelaki tidak berupaya menahan impak psikologi bebanan tersebut. Masalah kerja dibawa pulang ke rumah menyaksikan ramai suami menjadikan isteri mereka sebagai tempat meluahkan kemarahan. Tindakan mendera yang mungkin dilakukan tanpa sedar terus menjadi-jadi seiringan dengan bertambahnya tekanan yang dialami di pejabat. Kaum lelaki harus lebih bijak mengawal tekanan kerja di pejabat daripada terus menjejaskan pertimbangan mereka.

          Selain itu, kemelut sosial ini turut meningkat saban tahun kerana kurangnya pendedahan wanita terhadap hak mereka dalam sesuatu perhubungan itu. Kegagalan wanita untuk memahami hak mereka sebagai pasangan menyebabkan mereka seolah-olah merelakan penderaan yang dialami itu. Keadaan ini diburukkan pula dengan keadaan ketiadaan tempat untuk mengadu masalah berkenaan. Oleh itu, masalah yang memalukan ini terus wujud kerana wanita masih kabur tentang hak mereka dalam kehidupan moden.

          Malah, kemelut ini turut dikaitkan dengan pandangan sempit masyarakat yang menganggap masalah rumah tangga sebagai masalah peribadi seseorang. Masyarakat terus menyepikan diri walaupun mengetahui wujudnya masalah tersebut dalam kalangan jiran mereka. Ketidakpekaan anggota masyarakat turut menyukarkan mangsa mendapatkan nasihat dan panduan untuk menyelesaikan masalah ini. Justeru, masalah ini terus wujud seperti api dalam sekam yang secara senyap-senyap memusnahkan kehidupan seseorang.

          Konklusinya, semua faktor di atas menjadi pemangkin yang mewujudkan kemelut sosial tersebut. Kegagalan individu untuk mengawal perasaan mereka menjadi penentu dalam menyelesaikan masalah yang tidak mengira kaum, umur, dan tahap pendidikan seseorang. Peribahasa ‘habis madu sepah dibuang’ menghuraikan betapa mudahnya kasih sayang antara manusia menghilang.



























ISU: PERMAINAN TRADISIONAL

Permainan tradisional semakin dipinggirkan pada zaman ini. Pada pendapat anda, perlukah usaha-usaha dilakukan untuk mempertahankan permainan-permainan tradisional?


          Permainan tradisional merujuk kepada permainan budaya seperti permainan gasing, sepak takraw, dan wau yang terdapat dalam sesuatu masyarakat. Walau bagaimanapun, isu peminggiran permainan tradisional ini sentiasa menjadi buah mulut orang ramai sehingga menuntut tindakan yang pragmatik untuk memastikan permainan tersebut terus wujud dalam kalangan masyarakat kita.

          Kerajaan haruslah menyediakan lebih banyak tempat atau gelanggang untuk memudahkan rakyat memainkan permainan ini. Kewujudan gelanggang ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menikmatinya. Kekerapan bermain permainan ini berupaya mewujudkan satu kesedaran yang hakiki terhadap permainan budaya yang hampir terpinggir. Oleh itu, pembinaan gelanggang yang cukup oleh pihak yang bertanggungjawab mampu memberi nafas baru kepada kesinambungan permainan warisan budaya ini.

          Pihak kerajaan juga boleh memajukan permainan ini dengan menyediakan jurulatih yang bertauliah di setiap gelanggang yang disediakan. Kehadiran jurulatih ini memastikan masyarakat mendapat pendedahan yang tepat tentang sesuatu permainan itu dan berupaya mengajarkan ilmu itu kepada anak-anak mereka pula. Langkah ini dilakukan untuk memastikan berlakunya kesinambungan dalam memainkan permainan yang semakin dilupakan. Jelaslah, permainan warisan budaya ini akan terus dimainkan jika ada jurulatih yang bertauliah untuk mengajar masyarakat kita.

          Selain itu, pihak sekolah boleh mewajibkan permainan tradisional dalam aktiviti kokurikulum yang disertai oleh pelajar. Tindakan ini memastikan pelajar kita terdedah dengan jenis-jenis permainan tradisional sejak muda lagi dan memahami kepentingan mengekalkan permainan tersebut. Kesedaran yang dipupuk sejak awal lagi mampu memberikan impak yang mendalam dalam jiwa seseorang pelajar sehinggalah mereka memasuki alam dewasa. Jadi, pihak sekolah wajib menjadikan permainan ini sebagai satu aktiviti sekolah yang penting untuk disertai oleh pelajar.

          Malah, permainan tradisional ini boleh dikekalkan jika pihak berkuasa mengadakan promosi yang berkesan menerusi media massa. Penayangan iklan yang bersesuaian seperti menjelaskan aspek kepentingan permainan tersebut boleh menimbulkan kesedaran kepada masyarakat dan anggota masyarakat cuba mengekalkan dan memainkan permainan ini sekerap mungkin. Sesungguhnya, promosi yang sesuai dan kena pada sasaran memberi satu dimensi baru pada permainan ini untuk terus hidup dan berkembang.

          Sebagai kesimpulannya, permainan tradisional boleh dikekalkan jika semua langkah-langkah yang dijelaskan di atas dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Peribahasa ‘tepuk dada tanya selera’ sesuai menjadi renungan kita semua kerana jika kita masih leka mungkin permainan tradisional ini akan terus terkubur begitu sahaja.
         

         






















ISU: KEPENGGUNAAN

Pendidikan kepenggunaan lahir daripada sistem ekonomi ‘Laissez Faire’ apabila golongan kapitalis mengaut keuntungan melalui bidang perkhidmatan dan perniagaan. Pengguna perlu diberi pengetahuan dan kesedaran tentang hak mereka agar tidak menjadi mangsa sistem ekonomi ini. Bincangkan hak dan kepentingan pendidikan kepenggunaan kepada orang ramai.


Pendahuluan:
Setiap individu mempunyai hak sebagai pengguna:
·        Agar tidak ditindas oleh peniaga
·        Pengguna mempunyai kuasa tersendiri

Isi: Hak-hak pengguna:
Hak untuk memilih:
·        Hak untuk memilih barangan dan perkhidmatan yang diperlukan
·        Pengguna tidak boleh dipaksa membeli atau menggunakan sesuatu barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh golongan tertentu

Hak bertanya / mendapatkan maklumat:
·        Berhak  mengetahui keterangan terperinci tentang sesuatu barangan yang diperlukan
·        Pihak peniaga tidak boleh menyembunyikan apa juga maklumat dan perkhidmatan yang hendak dibeli oleh pelanggan

Hak mendapatkan ganti rugi:
·        Berhak mendapatkan barangan yang berada dalam keadaan yang memuaskan
·        Sekiranya berlaku perkara sebaliknya, pengguna berhak mendapatkan ganti rugi barangan yang rosak ketika pembelian

Hak bersuara / keselamatan:
·        Berhak menyuarakan rasa tidak puas hati dengan bebas, memberi ulasan dan pendapat tentang barangan yang mereka gunakan
·        Berhak membuat aduan kepada penjual atau pihak berwajib
·        Jika sesuatu barangan boleh menjejaskan  keselamatan pengguna seperti kandungan bahan kimia yang berbahaya, pewarna yang tidak dibenarkan, barangan permainan yang membahayakan kanak-kanak dan sebagainya

Hak untuk mendapat keperluan asas:
·        Pengguna mempunyai hak kepada barangan dan perkhidmatan asas kehidupan
·        Contoh: makanan, pakaian, perumahan, kesihatan dan sebagainya

Isi: Kepentingan pendidikan kepenggunaan:
Bijak berbelanja:
·        Pengguna yang bijak berbelanja pada barang-barang yang perlu sahaja
·        Pengguna sepatutnya menyenaraikan barangan yang diperlukan sebelum membeli barangan

Membandingkan harga:
·        Pengguna perlu membandingkan harga antara kedai-kedai sebelum mengambil keputusan membeli sesuatu barangan
·        Membeli barangan di kedai yang menawarkan harga berpatutan dan kualiti yang baik

Tidak terpedaya dengan iklan:
·        Pengguna harus membuat penelitian saksama dan rasional sebelum membeli atau menggunakan sesuatu barangan dan perkhidmatan
·        Tidak seharusnya terpengaruh dengan iklan yang dipaparkan


Membeli barangan yang bermutu:
·        Pengguna memilih barangan yang tidak berbahaya kepada manusia dan alam
·        Merujuk label isi kandungan atau tarikh luput sebelum membuat keputusan membeli barangan tersebut (jika barang makanan)

Penutup:
Pengguna perlu bijak:
·        Tidak mudah terpengaruh dengan iklan
·        Membuat pilihan kepada barangan yang utama sahaja
ISU: MODAL INSAN

Hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-9 adalah untuk melahirkan modal insan bersepadu berteraskan bangsa terbilang. Huraikan bagaimana mewujudkan modal insan cemerlang, gemilang, dan terbilang.


Pendahuluan:
Kerajaan telah merangkan langkah-langkah untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju berasaskan Wawasan 2020:
·        Telah dikemukakan dalam Rancangan Malaysia ke-9
·        Mendukung hasrat untuk membina masyarakat yang cemerlang, gemilang, dan terbilang
·        Meliputi nilai murni dan kemajuan infrastruktur

Isi : Cara-cara mewujudkan modal insan yang dikehendaki:
Aspek pentadbiran:
·        Kerajaan melaksanakan rancangan lima tahun untuk memastikan pentadbiran dijalankan dengan baik, seperti dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional, dan Dasar Wawasan Negara
·        Meningkatkan tahap kemampuan kualiti hidup
·        Menyediakan sistem perubatan yang canggih, pengangkutan yang baik, membekalkan air yang mencukupi dan mengusahakan pertanian, merancang penerokaan tanah
·        Membangunkan negara melalui pentadbiran yang teratur dan melaksanakan strategi yang berkesan seperti menggunakan khidmat satelit

Aspek pendidikan:
·        Pendidikan menjadi pemangkin pembangunan negara
·        Menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik
·        Meluaskan program ICT melalui program School Net dan sistem pengkomputeran
·        Mengamalkan sistem pendidikan bertaraf dunia

Aspek penyelidikan:
·        Mempertingkatkan penyelidikan bioteknologi dan kaedah pengeluaran pertanian
·        Mengatasi masalah penyakit dan meningkatkan taraf kesihatan masyarakat
·        Menggunakan sumber negara untuk mengatasi masalah mengimport dari negara asing
·        Menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi

Aspek ekonomi:
·        Meningkatkan nilai tambah sektor pembuatan, pertanian, dan perkhidmatan
·        Mengeratkan lagi kerjasama sektor awam dengan sektor swasta
·        Memperluaskan pasaran produk dan menarik lebih banyak pelabur
·        Meningkatkan pendapatan negara dan menjalankan projek mega

Penutup:
Kemajuan sesebuah negara terletak pada rakyatnya:
·        Pelbagai aspek perlu diberi perhatian untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang
·        Memerlukan komitmen kerajaan dan seluruh rakyat untuk menjayakan hasrat tersebut



















ISU: PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB)

Penghantaran tentera Malaysia dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon membuktikan kerajaan begitu prihatin tentang keamanan negara dunia. Huraikan kebaikan tindakan kerajaan menghantar tentera pengaman ke luar negara.


Pendahuluan:
Keamanan merupakan hak milik manusia sejagat dan seharusnya dikekalkan:
·        Melibatkan secara aktif dalam usaha murni PBB
·        Hubungan luar negara baik
·        Menjaga keamanan negara di dunia

Isi : Kebaikan menghantar tentera pengaman:
Memastikan keamanan negara-negara di dunia:
·        Menyokong usaha PBB
·        Malaysia sentiasa mengharapkan keamanan dunia
·        Melaksanakan tentang apa yang dikatakan berkenaan keamanan
·        Dapat membantu mengekalkan keamanan di negara lain

Mendedahkan kepada latihan dan kecekapan:
·        Tentera Malaysia mendapat latihan yang lebih intensif
·        Mempelajari teknik perang yang lebih praktikal buka olok-olok
·        Mengetahui keperitan dan kesukaran menghadapi musuh
·        Membantu mempertahankan negara pada masa akan datang

Mewujudkan jalinan persahabatan:
·        Melalui dasar luar negara, Malaysia dapat menjalinkan persahabatan
·        Pemimpin negara yang dilanda persengketaan akan mengeratkan persahabatan dengan Malaysia
·        Pada jangka masa panjang, Malaysia dapat meningkatkan ekonomi negara
·        Tentera Malaysia dapat bertukar pendapat dengan tentera dari negara lain

Malaysia akan dihormati:
·        Malaysia akan dihormati oleh masyarakat dunia sebagai sebuah negara yang mengekalkan dasar berkecuali
·        Malah sebarang syor yang dibuat oleh Malaysia di PBB tentang peperangan akan diterima oleh negara dunia
·        Kedudukan Malaysia di mata dunia akan meningkat tinggi
·        Menguntungkan negara dari pelbagai sudut

Penutup:
Menunjukkan sikap bekerjasama dan menghormati:
·        Satu tindakan yang baik
·        Membantu negara yang menghadapi masalah
·        Dapat menyedarkan rakyat agar mengekalkan keamanan





















ISU: PELANCONGAN

Bagi menggalakkan lebih banyak pelancong datang ke Malaysia, kerajaan telah melancarkan program ‘Malaysia, Rumah Keduaku’. Jelaskan kepentingan program ini dan masalah yang dihadapi dalam usaha menjayakan program tersebut.


Pendahuluan:
Pelancongan merupakan salah satu industri terpenting di negara ini:
·        Telah diperkenalkan sejak 24 Jun 2002
·        Pengubahsuaian daripada program The Silver Hair Programme bagi menggalakkan orang Barat dan Jepun yang kaya melawat Malaysia
·        Walaupun program ini memberi impak yang baik, kita perlu berhati-hati dengan masalah yang bakal wujud

Isi : Kepentingan:
Membantu sektor pelancongan secara berterusan:
·        Pelancong dari mana-mana negara yang diakui oleh Malaysia kecuali Israel, Yugoslavia, Serbia, dan Montenegro dapat tinggal di negara ini untuk jangka masa lima hingga sepuluh tahun
·        Dapat tinggal bersama-sama keluarga mereka
·        Menikmati suasana hidup yang aman dan damai serta dapat mempromosikan keindahan Malaysia
·        Mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancong

Membantu menjana ekonomi negara:
·        Pemohon yang ingin menyertai program ini perlu mempunyai pendapatan tetap tidak kurang daripada RM 7 000 dan mempunyai simpanan tetap di bank tidak kurang daripada RM 100 000
·        Mereka juga perlu mempunyai akaun simpanan sebanyak RM 300 000 di bank tempatan
·        Bank tempatan dapat melabur wang simpanan untuk sektor pertanian dan perindustrian
·        Program ini menguntungkan negara kerana telah berjaya membawa pulangan dari segi pertukaran mata wang asing

Isi : Masalah:
     Percanggahan budaya:
·        Pelancongan yang tinggal akan mengamalkan budaya mereka
·        Menimbulkan keraguan dalam kalangan penduduk tempatan
·        Wujud gejala sosial dan dari segi pakaian tidak senonoh
·        Perlu diawasi bagi memastikan budaya tempatan tidak tercemar

Bilangan orang yang masuk ke negara ini terlalu banyak:
·        Kemasukan pelancong tidak terhad
·        Kehadiran mereka ada kalanya mencurigakan
·        Ada yang memalsukan pas lawatan, visa, dan kad mendarat
·        Mudah menipu pihak berkuasa yang mengamalkan pemeriksaan sambil lewa

Penutup:
Malaysia perlu terus maju:
·        Program ‘Malaysia, Rumah Keduaku’ memang baik untuk dilaksanakan
·        Menguntungkan negara pada jangka masa panjang
·        Masalah yang wujud perlu diatasi

















ISU: PERTANIAN

Kerajaan memberi tumpuan utama kepada sektor pertanian dalam Rancangan Malaysia Kesembilan yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Namun, wujud halangan dalam usaha membangunkan sektor tersebut. Bincangkan pernyataan di atas.


Pendahuluan:
Sektor pertanian tidak kurang pentingnya:
·        Sektor ini perlu dibangunkan
·        Bersesuaian dengan perkembangan dan kemajuan semasa
·        Banyak sumbangan diperoleh dan banyak juga halangan yang dilalui

Isi : Sumbangan atau kepentingan sektor pertanian:
Membekalkan sumber makanan
·        Hasil pertanian dijadikan bahan makanan kepada penduduk
·        Tidak perlu diimport dan mengurangkan pengaliran wang keluar
·        Hasil pengeluaran sumber tempatan berkualiti, segar, dan murah
·        Negara yang paling maju dalam semua bidang memerlukan makanan yang pastinya datang dari hasil pertanian

Menyumbang kepada pendapatan negara:
·        Membantu meningkatkan ekonomi negara
·        Pengeluaran komoditi tempatan boleh dieksport ke luar negara
·        Sumber pendapatan negara digunakan untuk pembangunan negara
·        Contoh: kelapa sawit, getah,dan koko merupakan penyumbang utama dalam sektor pertanian

Menyediakan peluang pekerjaan:
·        Sektor pertanian memerlukan bilangan pekerja yang banyak
·        Mengurangkan masalah pengangguran
·        Tenaga buruh diperlukan untuk menjaga ladang dan memungut hasil
·        Pekerjaan dalam teknologi pemakanan, perkhidmatan, dan penghasilan bahan mentah pertanian

Isi : Halangan atau masalah:
     Penggunaan tanah yang terhad:
·        Kawasan tanah pertanian semakin kurang
·        Wujud persaingan dalam usaha untuk mendapatkan tanah bagi tujuan perbandaran, pembukaan kawasan perumahan
·        Perkembangan industri sukan khususnya pembinaan padang golf yang luas
·        Penerokaan tanah baru seperti FELDA tidak diteruskan

Daya dan mutu pengeluaran yang rendah:
·        Penggunaan teknologi moden masih terhad
·        Pergantungan yang tinggi terhadap faktor-faktor alam seperti musim, cuaca, dan faktor bencana alam
·        Dipengaruhi juga oleh serangan penyakit
·        Tempoh untuk mendapat hasil yang panjang dan tidak konsisten

Kekurangan tenaga buruh:
·        Terdapat masalah tenaga buruh yang telah lanjut usia, golongan muda tidak berminat
·        Import buruh asing membawa masalah sampingan
·        Keadaan tenaga buruh dalam perladangan amat meruncing dan genting
·        Terdapat perpindahan dan golongan muda tidak bersedia bekerja di sektor pertanian

Penutup:
Sektor pertanian merupakan sektor yang cukup penting kepada negara:
·        Sektor ini tidak boleh diabaikan walaupun negara mencapai kemajuan dalam sektor perindustrian,
·        Kerajaan perlu mengambil langkah positif agar sektor ini tidak terpinggir







ISU: E-DAGANG

Perdagangan secara dalam talian kini merupakan satu mekanisme baru dalam urus niaga tanpa sempadan. Bincangkan kesan yang mungkin timbul ekoran pelaksanaan e-dagang dalam urus niaga melalui sistem elektronik.


Pendahuluan:
Negara kita setanding dengan negara-negara lain di dunia:
·        Perdagangan secara elektronik telah mula digunakan secara meluas di dunia terutamanya antara negara-negara maju
·        Negara kita juga telah mula menggunakan perdagangan secara e-dagang

Isi : Kesan positif e-dagang:
Memudahkan dan mempercepatkan urus niaga:
·        Urus niaga dan perkhidmatan e-dagang boleh diakses dengan mudah setiap masa di mana-mana sahaja pejabat atau di mana-mana sahaja berada
·        Segala pesanan dan pembayaran boleh dijalankan melalui internet atau elektronik
·        E-dagang telah memberi peluang kepada peniaga-peniaga kita memasarkan barangan di dalam dan di luar negara
·        E-dagang telah menggalakkan perdagangan antara sebuah negara dengan sebuah negara lain

Memudahkan pengeluar dan pengguna mendapatkan maklumat:
·        Memberi peluang kepada syarikat-syarikat untuk menghantar mesej-mesej pemasaran dan maklumat produk kepada pengguna multinasional melalui internet
·        Ketepatan maklumat membolehkan pengeluar dan pengguna membuat keputusan dengan betul dan akan membawa keuntungan kepada syarikat dan negara
·        Orang ramai berpeluang mengikuti perkembangan ekonomi dunia dan pasaran saham dalam dan luar negara dengan cepat dan mudah
·        Kos urus niaga dapat dijimatkan

Isi : Kesan negatif e-dagang:
     Wujudnya unsur penyelewengan:
·        E-dagang boleh digunakan untuk melakukan jenayah kolar putih atau jenayah elektronik
·        Wujudnya laman-laman web perdagangan palsu
·        Pengguna tidak mendapat barangan yang dipesan walaupun pembayaran telah dilakukan melalui elektronik
·        Jenayah perdagangan tersebut agak sukar dikesan kerana mereka mahir memanipulasikan e-dagang

Monopoli produk oleh negara maju:
·        Negara maju akan mengeksploitasi pasaran dengan mengamalkan dasar monopoli
·        Negara maju akan membentuk blok perdagangan
·        Negara-negara mundur akan terus ketinggalan dalam era globalisasi
·        Negara maju akan menetapkan syarat dan kuota perdagangan

Penutup:
Pelbagai kesan wujud melalui pelaksanaan e-dagang:
·        Perdagangan secara talian akan menjadi urus niaga yang penting pada masa hadapan
·        Langkah-langkah yang wajar perlu diambil agar tidak berlau penyelewengan
















ISU: PENDERMAAN / PEMINDAHAN ORGAN

Pendermaan dan pemindahan organ bukanlah satu perkara yang baru dalam dunia perubatan di Malaysia tetapi kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan menderma organ masih pada peringkat yang amat rendah.


Pendahuluan:
Pendermaan dan pemindahan organ melibatkan pertukaran tisu atau organ yang tidak berfungsi:
·        Organ yang dipindahkan biasanya adalah daripada organ yang disahkan mati secara klinikal atau dalam erti kata yang lain otak sudah tidak berfungsi lagi
·        Di Malaysia, kesedaran mendermakan organ atau tisu kepada mereka yang memerlukan tidaklah begitu tinggi disebabkan beberapa perkara seperti keagamaan, kurang pengetahuan, dan sebagainya
·        Kesedaran perlu ditingkatkan untuk menggalakkan orang ramai mendermakan organ atau tisu

Isi : Langkah-langkah berkesan:
Pihak kerajaan harus berganding bahu dengan media massa:
·        Menyebarkan maklumat secara berterusan tentang betapa perlunya organ didermakan
·        Unit-unit bergerak menjalankan tugas dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk menerangkan dengan tepat dan jelas tentang pendermaan organ
·        Media cetak dan media elektronik harus mengekhaskan satu program untuk menyiarkan semua maklumat dan berita tentang pendermaan organ
·        Usaha yang berterusan dan menepati sasaran akan membuahkan hasil

Peranan badan-badan agama:
·        Pendermaan organ digalakkan kerana mendermakan organ atau tisu untuk menyelamatkan orang lain
·        Sifat ini merupakan sifat yang mulia dan disanjung oleh semua agama dan harus diterangkan tentang kemuliaan menawarkan diri sebagai penderma
·        Badan-badan agama harus membantu pihak lain untuk menggalakkan penganut-penganutnya untuk mendaftarkan diri sebagai penderma
·        Pendermaan organ merupakan satu tanggungjawab memandangkan setiap agama menyeru penganutnya agar sentiasa mengasihani orang lain

0 comments:

Post a Comment