Tuesday, June 7, 2011


8.1 Mengapa Kerajaan Perlu Campur Tangan dalam Kegiatan Ekonomi
1.     Pada bab pengenalan yang lalu, anda telah pun mempelajari tentang sistem ekonomi pasaran bebas, sistem ekonomi perancangan pusat, sistem ekonomi Islam, dan sistem ekonomi campuran.
2.     Sistem ekonomi campuran adalah gabungan antara sistem ekonomi pasaran bebas dan campur tangan kerajaan. Oleh kerana dalam sistem ekonomi pasaran bebas terdapat beberapa kelemahan yang tidak dapat diatasi oleh sistem pasaran itu sendiri, maka ini mendorong kerajaan untuk campur tangan dalam kegiatan ekonomi.
3.     Antara kelemahan atau kegagalan tersebut ialah:
(a) Wujudnya eksternaliti negatif
(i)              Eksternaliti negatif ialah kesan-kesan sampingan yang negatif atau yang menyebabkan kos sosial kepada masyarakat akibat daripada perkembangan dan kepesatan kegiatan sektor perkilangan yang tidak terkawal.
(ii)          Contohnya, pencemaran alam sekitar. Oleh kerana matlamat firma adalah untuk memaksimumkan keuntungan persendirian semata-mata, maka kebajikan masyarakat diabaikan. Dengan demikian, mereka akan terus membuang sisa-sisa toksid dan lain-lain bahan buangan ke dalam sungai dan sebagainya tanpa mengambil sebarang tindakan yang sewajarnya.
(b) Kesan buruk monopoli
(i)            Dalam sistem ekonomi pasaran bebas, semua firma bebas bersaing antara satu sama lain. Dalam setiap persaingan, pasti ada yang akan "kalah" dan ada yang "menang". Sekiranya sesebuah firma itu "kalah" dan tidak dapat meneruskan perniagaannya, ia terpaksa keluar dari pasaran. Ini akan mengurangkan bilangan firma di pasaran.
(ii)             Sekiranya tindakan keluar firma-firma ini berlaku secara berterusan, lama kelamaan akan tinggal sebuah firma sahaja yang beroperasi di pasaran. Dengan cara ini wujudlah seorang penjual tunggal atau seorang monopoli.
(iii)         Monopoli lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikannya kepada pengguna. Antara keburukan monopoli ialah harga lebih mahal, barang kurang berkualiti, kuantiti barang terhad, dan lain-lain yang mengurangkarai tingkat kepuasannya. Selain daripada itu, akan wujud suatu jurang agihan pendapatan dan kekayaan yang luas di kalangan masyarakat.
(c) Pengagihan pendapatan yang tidak setara
(i)              Dalam masyarakat yang mengamalkan sistem ekonomi pasaran bebas, jurang agihan pendapatan yang luas antara golongan kaya dengan golongan miskin merupakan satu fenomena biasa sahaja.
(ii)       Golongan kaya yang memiliki banyak sumber ekonomi akan menggunakan sumber-sumber ekonomi itu untuk meningkatkan lagi pendapatan mereka. Sebaliknya, golongan miskin yang mempunyai sedikit sumber ekonomi tidak mampu untuk meningkatkan lagi pendapatan mereka.
(iii)      Jurang agihan pendapatan yang terlalu ketara antara golongan kaya dengan golongan miskin ini boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan seterusnya boleh menggugat pertumbuhan ekonomi negara.
(d) Kekurangan barang awam
(i)            Barang awam juga dikenal sebagai barang sosial. Barang awam boleh didefinisikan sebagai suatu barang yang tidak tertakluk kepada prinsip kekecualian. Ini bererti tidak seorang pun yang boleh dikecualikan daripada menggunakan barang awam. Semua orang boleh menggunakannya sama ada ia mampu membayar ataupun tidak mampu membayarnya.
(ii)          Barang awam dikeluarkan oleh kerajaan bagi tujuan meninggikan tingkat kebajikan masyarakat. Oleh itu, barang-barang ini dapat diperoleh tanpa sebarang pembayaran dan jika dikenakan pembayarannya sekali pun, biasanya harga yang dikenakan adalah sangat rendah kerana matlamat pengeluarannya bukanlah untuk memaksimumkan keuntungan.
(iii)           Atas alasan inilah, maka sektor swasta kurang berminat untuk mengeluarkan barang awam kerana semua firma di dalam sistem ekonomi pasaran bebas mempunyai matlamat untuk memaksimumkan keuntungan dan bukan mengutamakan kebajikan masyarakat.

0 comments:

Post a Comment