Thursday, October 6, 2011

Karangan ; Bahagian B


RAMALAN STPM 2011
BAHAGIAN B: ESEI DISIPLIN SAINS


ISU: PERTANIAN

Pertanian organik merupakan kaedah pertanian yang mesra alam. Kaedah pertanian ini perlu diperluas agar dapat membantu kerajaan melindungi alam sekitar. Huraikan kebaikan kaedah pertanian organik kepada kehidupan manusia dan alam sekitar.


          Pertanian organik ialah sistem pertanian mesra alam yang tidak menggunakan baja kimia, racun perosak, dan bahan penggalak tumbuhan. Sistem ini bergantung kepada penggunaan bahan-bahan organik dalam bentuk kompos, baja hijau atau sungkupan. Terdapat banyak kebaikan yang diperoleh dari[ada pertanian secara organik ini.

          Pertanian organik telah membawa pelbagai kebaikan kepada manusia dan alam sekitar. Pertanian organik yang tidak melibatkan penggunaan racun makhluk perosak dan baja kimia itu telah menghasilkan pengeluaran tanaman makanan manusia seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang sihat dan selamat kerana sumber ini bebas daripada masalah bahan kimia. Hasil-hasil pertanian juga lebih berkualiti kerana tumbuh-tumbuhan menjadi lebih hijau, berzat, memiliki daya tahan terhadap penyakit dan bersih.

          Pertanian organik juga dapat memulihara air dan alam sekitar daripada pencemaran kerana sistem ini tidak menggunakan bahan kimia sebagai bahan nutrien. Dalam pertanian organik, bahan organik dan nutrien akan hilang melalui tuaian tanaman. Bahan organik dan nutrien ini telah digantikan melalui proses-proses kitaran semula dan juga melalui pengikatan nitrogen secara biologikal, tanpa menggunakan bahan kimia. Pencemaran air oleh bahan kimia dapat dielakkan. Udara dan alam sekitar pula akan bebas daripada bahan kimia yang boleh menjejaskan ekosistem dan kepelbagaian biologi.

          Kesuburan tanah juga dapat ditingkatkan dan dikekalkan dengan penggunaan kaedah pertanian organik ini. Penggunaan baja hijau seperti kacang hijau atau kacang soya dalam sistem ini mampu menambahkan unsur nitrogen dan bahan organik di dalam tanah. Kaedah sungkupan, iaitu penggunaan tumbuh-tumbuhan seperti lalang dan jerami padi untuk menutup permukaan tanah tanaman pula dapat mengawal suhu tanah, mengurangkan hakisan tanah semasa hujan dan mengurangkan kehilangan air yang diperlukan oleh tanaman. Kesuburan tanah membolehkan tanaman selingan, pelbagai tanaman pusingan dan tanaman sampingan diusahakan.

          Sistem pertanian organik juga dapat mengawal rumpai dan makhluk perosak lain melalui kaedah biologi, fizikal,kultur, dan penggunaan pokok penangkis perosak. Pertanian organik mengamalkan kawalan biologi bagi perosak dan rumpai. Penggunaan racun serangga, racun kulat, dan racun rumpai diganti dengan cara menggalakkan serangga dan mikroorganisma berguna hidup di kawasan pertanian organik untuk mengawal serangga perosak tanaman daripada berleluasa. Kaedah sungkupan pula dapat mengawal pertumbuhan rumpai dengan menghalang pendedahan biji benih rumpai kepada cahaya matahari.

          Kesimpulannya, sistem pertanian organik dapat menghasilkan makanan yang berkualiti tinggi yang bebas daripada penggunaan bahan kimia. Sistem ini menekankan kepada usaha memupuk kesuburan tanah dengan pelbagai kaedah. Sistem pertanian organik yang berjaya dapat menghasilkan tanaman yang berkualiti.

         


















ISU: PEMAKANAN KESIHATAN

Pemakanan kesihatan semakin mendapat sambutan masyarakat moden hari ini. Namun begitu, kajian turut mendapati bahawa pemakanan kesihatan boleh memudaratkan kesihatan pengguna. Bincangkan.


          Pengambilan pemakanan kesihatan semakin popular dalam kalangan pengguna di Malaysia. Pengambilan pemakanan kesihatan seperti kapsul pembuka selera, pil-pil vitamin, pil pelangsing badan dan minuman spirulina oleh masyarakat Malaysia memang diakui terutamanya oleh golongan remaja dan dewasa yang sibuk dengan kerjaya masing-masing. Sesungguhnya, pengambilan pemakanan kesihatan sebegini turut mempunyai pelbagai kesan kepada pengguna.

          Pemakanan kesihatan boleh membantu pengguna kerana bahan sebegini membekalkan tenaga dan mengekalkan kecergasan agar tidak mudah berasa letih dan lesu. Bekalan tenaga diperoleh daripada pengambilan pemakanan kesihatan yang bercorak karbohidrat. Pengguna menjadi lebih segar, bertenaga dan sentiasa aktif. Keadaan ini membolehkan pengguna tersebut melakukan aktiviti seharian dengan cergas. Hal ini  wujud kerana pengguna telah mendapat kandungan oksigen yang mencukupi dalam tubuhnya. Satu kapsul vitamin dikatakan mengandungi nutrien daripada 20 jenis sayur dan 15 jenis buah-buahan.

          Pemakanan kesihatan juga turut membantu tumbesaran yang sihat, iaitu membantu perkembangan fizikal dan mental yang sihat. Pemakanan kesihatan bercorak asid folik amat penting terutamanya kepada ibu yang hamil. Pengambilan bahan pemakanan sebegini akan membantu perkembangan janin yang sihat. Kanak-kanak pula memerlukan pemakanan kesihatan yang bercorak kalsium, zat besi, dan protein untuk merangsang tumbesaran mereka terutamanya bagi membentuk tulang yang kuat. Malah, pemakanan kesihatan dapat meningkatkan daya tahan melawan penyakit.

          Pemakanan kesihatan yang tidak diluluskan oleh kerajaan atau dimakan tanpa preskripsi pihak doktor atau farmasi yang bertauliah akan mengundang keburukan. Pengguna yang mengambil bahan pemakanan kesihatan yang mempunyai terlalu banyak vitamin A akan menyebabkan keracunan untuk jangka masa panjang. Pengambilan pemakan kesihatan yang mempunyai terlalu banyak vitamin E akan menyebabkan terjejasnya fungsi hati. Pengguna dos yang berlebihan merosakkan hati dan ginjal manakala kalsium yang berlebihan akan menyebabkan penyakit batu karang.

          Selain itu, pengambilan pemakanan kesihatan juga akan menyebabkan alahan kepada pengguna. Pengguna mengalami kesan-kesan sampingan seperti rangsangan kulit, bengkak pada bahagian muka, sait kepala, dan sakit lutut. Keadaan ini disebabkan oleh ketidakserasian kandungan bahan pemakanan kesihatan tersebut dengan antibodi pengguna. Di samping itu, sesetengah pemakanan kesihatan yang dicampurkan dengan bahan-bahan terlarang seperti stimulen dan bahan penahan sakit akan menyebabkan ketagihan atau pergantungan psikologi.

          Kesimpulannya, amalan pemakanan perlu dilakukan dengan berhati-hati. Pemakanan kesihatan amat penting. Walau bagaimanapun, pengguna hendaklah berhati-hati terhadap pemakanan kesihatan tertentu. Kerajaan telah melancarkan kempen cara hidup sihat yang bertemakan “Makan Untuk Kesihatan” mulai tahun 1997 hingga kini, yang bertujuan untuk menggalakkan tabiat pemakanan yang sihat dalam kalangan masyarakat Malaysia.






















ISU: NANOTEKNOLOGI

Nanoteknologi ialah bidang sains yang menerokai aplikasi bahan bersaiz atom atau molekul halus yang digunakan untuk pelbagai bidang. Bidang perubatan merupakan antara bidang yang memperoleh manfaat besar hasil perkembangan nanoteknologi. Bincangkan kelebihan aplikasi nanoteknologi dalam bidang perubatan.


          Nanoteknologi ialah bidang sains dan teknologi yang menerokai aplikasi partikel bersaiz atom atau molekul halus untuk pelbagai tujuan. Nano ialah saiz yang teramat kecil daripada seratus nanometer atau satu bilion lebih kecil daripada satu meter. Nano teknologi telah diaplikasikan dalam pelbagai bidang termasuk bidang kosmetik, industri, pertanian, dan pengkomputeran. Aplikasi nanoteknologi dalam bidang perubatan telah mendatangkan pelbagai faedah kepada pesakit.

          Nanoteknologi digunakan dalam pengimejan perubatan magnetic resonance imaging (MRI). Teknologi pengimejan perubatan MRI dihasilkan menggunakan teknologi nanoteknologi. MRI merujuk kepada kaedah penghasilan imej organ dalaman organisma hidup seperti manusia melalui penggunaan partikel nano dan daya magnet yang kuat mengelilingi badan. Imej yang dihasilkan dapat memberi gambaran seribu kali lebih jelas berbanding dengan bahan kontras atau pewarna. Selain itu, imej tersebut dapat diambil daripada pelbagai dimensi dan sudut. MRI tidak mendedahkan pesakit kepada radiasi. MRI membantu doktor-doktor melakukan kerja-kerja mendiagnostik penyakit dengan lebih mudah, cepat, jelas, dan tepat. Oleh itu, penyakit dapat dikesan, dikenal pasti, dan kaedah rawatan yang sesuai dapat digunakan.

          Nanoteknologi telah digunakan dalam rawatan penyakit genetik melalui pembaikan dan regeneratif gen penyakit genetik. Gen yang rosak diganti dengan gen yang normal. Gen yang normal disampaikan melalui partikel nano. Gen normal dimasukkan ke dalam nukleus sel rosak tanpa merosakkan nukleus tersebut. Proses regeneratif dan baik pulih gen mala atau cacat mengambil tempat. Gen rosak dibaiki dan gen normal yang sihat dijana. Melalui rawatan ini, pesakit akan sembuh daripada penyakit genetik yang berpunca daripada pewarisan genetik gen yang rosak.

          Selain itu, nanoteknologi juga digunakan dalam rawatan antiinflamasi atau masalah kulit. Khinzir telah digunakan sebagai spesimen klinikal. Kesan inflamasi akibat infeksi bakteria pada lapisan kulit haiwan tersebut dapat dikurangkan. Partikel nano kristal perak yang mempunyai aktiviti antiinflamasi digunakan. Aktiviti anti inflamasi partikel nano kristal perak mampu membunuh bakteria dan membantu proses pemulihan masalah kulit. Partikel nano perak, zink oksida, dan emas pula digunakan untuk membunuh bakteria streptococcus mutans yang dikaitkan dengan masalah inflamasi oral manusia. Aplikasi nanoteknologi penting dalam rawatan dermatologi untuk memulihkan pesakit yang berhadapan dengan masalah kulit.

          Penyampaian atau penyaluran ubat dalam bidang onkologi kemoterapi juga menggunakan kaedah nanoteknologi. Partikel halus nano nanoteknologi telah dimanfaatkan untuk proses penyampaian ubat dalam bidang farmaseutikal. Partikel nano seperti tiub karbon nano (CNT) membawa ubat terus kepada sel kanser dan membunuhnya tanpa memudaratkan sel-sel normal lain. Selain CNT, ubat dimasukkan ke dalam partikel nano lain yang dikenali sebagai oleoyl-chitosan (OCH) untuk membunuh sel-sel kanser paru-paru. Dalam rawatan onkologi kemoterapi, partikel nano telah menjadi agen membawa ubat pembunuh sel kanser untuk membunuh sel-sel kanser. Aplikasi nanoteknologi dalam proses penyampaian ubat telah meningkatkan keberkesanan rawatan onkologi kemoterapi terhadap pesakit kanser.

          Sebagai kesimpulannya, ternyata nanoteknologi telah digunakan secara meluas dalam bidang perubatan. Penyelidikan aplikasi nanoteknologi dalam bidang perubatan dan bidang-bidang lain harus dipergiat. Pembangunan dan aplikasi nanoteknologi dalam bidang perubatan akan meningkatkan kesejahteraan hidup para pesakit.

         














ISU: APLIKASI TEKNOLOGI DALAM BIDANG PERUBATAN

Bagi meningkatkan kesejahteraan hidup, pakar-pakar perubatan telah melakukan pelbagai kajian dan penyelidikan untuk mencipta teknik perubatan yang menawarkan kaedah rawatan yang terbaik. Sejauh manakah anda bersetuju dengan pernyataan bahawa aspek teknologi dalam perubatan berupaya meningkatkan taraf kesihatan manusia.


          Perkembangan dalam bidang perubatan dunia amat pesat. Bidang perubatan yang semakin maju dapat meningkatkan taraf kesihatan mental dan fizikal manusia dengan pengenalan dan pelaksanaan pelbagai kaedah, peralatan, dan penemuan terbaharu yang telah mewarnai bidang perubatan dunia.

          Taraf kesihatan manusia memang turut dipengaruhi oleh faktor teknologi dalam bidang perubatan itu sendiri. Pelbagai produk peralatan dan ubat-ubatan yang dicipta dalam pelbagai bentuk berupaya memudahkan proses rawatan. Sebagai contohnya, sinaran-x dan teknologi laser dapat mengesan dan mendiagnosis pelbagai penyakit seperti penyakit kulit dan barah paru-paru dengan lebih tepat, cepat, dan tanpa kesakitan. Penyelidikan dan kajian yang berterusan dalam mencari vaksin dan penawar bagi penyakit-penyakit berbahaya seperti Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS) dan Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) terus dilakukan.

          Teknologi perubatan terutamanya kaedah rawatan ditingkatkan dari semasa ke semasa. Pembedahan dan pemindahan organ seperti jantung dan mata dapat dilaksanakan dengan berkesan dengan kelengkapan dan peralatan yang moden. Pemindahan darah yang bersih dan selamat juga dapat dilakukan. Pencegahan penyakit dengan mengambil antibiotik dan imunisasi terhadap penyakit berjangkit turut menjamin kesihatan manusia. Teleperubatan pula memudahkan perbincangan antara pakar-pakar perubatan. Penemuan terkini mudah disebarkan dan keadaan ini membolehkan perkongsian kepakaran mereka.

          Selain itu, faktor taraf kesihatan dan kesejahteraan hidup manusia juga ditentukan oleh faktor gaya hidup yang sihat. Pengalaman gaya hidup yang buruk dan bebas laku seperti merokok, mengambil minuman keras, dan mengamalkan seks bebas mendedahkan diri sendiri kepada risiko pelbagai jenis penyakit seperti barah serviks dan sifilis. Golongan remaja yang bergaul bebas tanpa kawalan ibu bapa cenderung mengalami keruntuhan akhlak dan secara tidak langsung terdedah kepada hubungan seks rambang .Gaya hidup yang sihat menjamin taraf kesihatan yang berpanjangan.

          Faktor taraf kesihatan manusia juga ditentukan oleh pengamalan pemakanan yang baik. Pengambilan makanan seimbang amat penting kerana bekalan makanan yang kaya dengan zat dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh dapat memberi jaminan kesihatan. Pengambilan makanan yang berlemak, berkolesterol dan bergula tinggi seperti coklat dan makanan bergoreng perlu dielakkan. Pengambilan serta seperti oat penting untuk mengurangkan paras kolesterol dalam badan. Pemakanan yang seimbang berupaya mengatasi obesiti, menjamin tahap perkembangan yang sempurna dan mengekalkan tahap kesihatan.

          Kesimpulannya, terdapat banyak faktor yang menentukan taraf kesihatan manusia selain faktor teknologi dalam bidang perubatan. Setiap manusia perlu menjaga kesihatan supaya tubuh badan sentiasa sihat dan kuat untuk menangkis serangan penyakit dan sentiasa aktif menjalani kehidupan seharian dengan ceria.























ISU: DIABETES MELITUS

Diabetes melitus merupakan satu penyakit yang berbahaya yang boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Diabetes tidak boleh disembuhkan tetapi boleh dikawal. Huraikan punca-punca yang menyebabkan berlakunya penyakit diabetes ini dan langkah-langkah bagi mengawal penyakit ini oleh penghidap diabetes.


          Diabetes melitus atau kencing manis boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Diabetes merupakan satu keadaan peningkatan gula dalam darah. Walau bagaimanapun, risiko mendapat diabetes adalah tinggi dalam kalangan orang yang gemuk, orang yang kurang melakukan aktiviti fizikal atau senaman dan juga orang yang mempunyai keluarga yang menghidap diabetes.

          Diabetes terjadi kerana amalan pemakanan. Pengambilan makanan yang berlemak dan kekurangan serat dalam makanan meningkatkan risiko menghidap diabetes. Pengambilan makanan bergula dan mengandungi karbohidrat yang berlebihan atau tidak seimbang turut mengakibatkan paras gula meningkat secara mendadak dalam darah dan glukosa gagal diserap atau diproses oleh pankreas. Pengguna kini gemar makan makanan berlemak seperti marjerin. Kekurangan zat makanan di peringkat awal umur dan kelahiran tidak cukup berat juga menyebabkan terjadinya penyakit ini.

          Diabetes juga terjadi kerana penghidap itu sering mengabaikan aspek senaman atau kurang melakukan aktiviti pergerakan fizikal. Dalam kehidupan moden ini, manusia asyik bekerja dan mengejar kekayaan material. Kehidupan yang selesa dengan pelbagai kemudahan moden di sekeliling turut mengakibatkan manusia malas berjalan dan bersenam. Segelintir masyarakat tidak memperuntukkan masa untuk melakukan sebarang aktiviti kecergasan fizikal setiap minggu. Keadaan ini menyebabkan tenaga dalam badan tidak terbakar dan seterusnya meningkatkan kadar glukosa dalam darah serta akhirnya menyebabkan terjadinya penyakit diabetes.

          Langkah yang ideal bagi mengawal penyakit diabetes adalah dengan mengawal pemakanan. Penghidap diabetes perlu makan makanan seimbang yang terdiri daripada karbohidrat, protein, vitamin, dan lemak. Penghidap diabetes hendaklah mengurangkan makanan yang berlemak dan makanan bergoreng. Makanan yang direbus lebih menyihatkan. Penghidap wajar mematuhi jadual pemakanan agar berat badan dapat dikawal pada paras yang dinasihatkan. Penghidap diabetes juga perlu mengelakkan mengambil makanan selepas makan atau di antara jadual makan yang ditetapkan.

          Selain itu, penghidap diabetes juga wajar dan perlu melakukan senaman atau aktiviti fizikal. Senaman penting bagi meningkatkan taraf kesihatan kerana senaman membantu mengurangkan paras glukosa dalam darah, meningkatkan peredaran darah, mengawal berat badan, menguatkan jantung, mengatasi tekanan perasaan. Senaman yang berkesan adalah senaman yang dilakukan selama 20 hingga 30 minit setiap kali, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Amalan senaman ini sepatutnya berterusan hingga akhir hayat.

          Kesimpulannya, jika paras glukosa dalam darah tidak dikawal dengan baik, kadar tersebut akan naik an mengakibatkan pelbagai tanda serius kepada kesihatan penghidap diabetes. Penghidap diabetes perlu menjaga kesihatan mereka lebih daripada orang lain bagi mengurangkan komplikasi yang mungkin timbul. Sekiranya terdapat luka atau jangkitan kuman, penghidap diabetes perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera.





















ISU: ALAM SEKITAR

Isu berkaitan aktiviti penambakan laut tiba-tiba menjadi satu topik perbualan hangat dalam setiap perbincangan. Sesungguhnya, penambakan laut turut berperanan penting dalam proses pembangunan negara. Sejauh manakah anda bersetuju dengan pernyataan tersebut.


          Penambakan laut adalah proses mewujudkan kawasan, tanah atau daratan secara buatan di kawasan pesisiran pantai. Penambakan laut menjadi aktiviti yang melibatkan penimbusan sebahagian kawasan laut dengan bahan isi seperti batu, pasir, dan tanah-tanih dengan tujuan untuk mendapatkan kawasan tanah darat yang baru.

          Penambakan laut di kawasan pantai dapat memelihara alam sekitar daripada terus diterokai atau dicemari sewenang-wenangnya. Penambakan laut secara terancang dapat membiakkan semula hutan bakau. Projek-projek penambakan laut yang dirancang dengan betul akan bertindak sebagai pelindung pantai dan menggalakkan penyuburan hutan bakau. Dengan wujudnya kawasan tambakan laut ini, pembangunan seperti akuakultur dan pertanian,infrastruktur dan rekreasi dapat dilaksanakan di kawasan baru ini. Langkah ini dapat mengurangkan kerosakan alam sekitar yang keterlaluan.

          Penambakan laut juga dapat mengawal hakisan pantai. Penyuburan hutan bakau telah mewujudkan satu pemecah ombak semula jadi dan efisien untuk melindungi pantai daripada terhakis akibat tindakan ombak. Penstabilan garisan pantai yang ditambak akan membenarkan pembentukan semula pantai. Keadaan ini akan melindungi struktur seperti bangunan dan jalan pantai daripada musnah. Nilai estetika pantai dapat diperbaiki.

          Walau bagaimanapun, aktiviti penambakan laut turut mempunyai impak yang negatif. Proses penambakan laut akan mengubah rupa bentuk fizikal muka bumi dan dasar laut yang sedia ada seperti kedalaman air, garis kontur kedalaman dan penjajaran garis pantai. Hal ini akan memberikan kesan terhadap sistem hidrodinamik pantai yang sedia ada, sama ada secara langsung ataupun tidak dalam jangka masa panjang. Laluan pergerakan air akan diubah oleh tambakan tersebut. Laluan selat akan menjadi sempit dan kualiti air akan merosot.

          Aktiviti penambakan laut akan menyebabkan kesan yang serius kepada hidupan marin. Pemendapan akan menyebabkan kawasan di sekeliling akan menjadi cetek. Kelodak yang timbul akan memberi ruang untuk peredaran udara di dalam laut tertutup. Hidupan-hidupan laut seperti batu karang,rumpai laut,ikan, dan plankton pupus kerana tidak menerima cahaya dan udara yang mencukupi. Habitat dan keadaan muka bumi terutamanya dasar laut telah berubah dan akan mencari tempat baru yang sesuai.

          Kesimpulannya, aktiviti penambakan laut telah mendatangkan pelbagai impak kepada pembangunan negara. Pelaksanaan penambakan laut hendaklah dilakukan secara terancang dan setelah melalui kajian yang panjang segala kesan negatif akibat aktiviti ini dapat diminimumkan. Aktiviti ini juga perlu dijalankan dengan prinsip saksama dan prihatin merujuk kepada tanggungjawab terhadap perlindungan hak masyarakat tempatan berkaitan isu alam sekitar, sumber asli, dan sosioekonomi.

























ISU: BIOTEKNOLOGI

Bioteknologi banyak sumbangannya dalam kehidupan manusia. Perkembangan terkini dalam bioteknologi membolehkan manusia mengatasi masalah dalam pelbagai bidang dengan mudah. Bincangkan kepentingan bioteknologi dalam bidang pertanian dan penternakan.


Pendahuluan:
Bioteknologi, yang meliputi kejuruteraan genetik dan pengklonan, memberikan sumbangan yang besar
·        Melalui bioteknologi, kita dapat mengatasi masalah pertanian dan penternakan dengan mudah

Isi: Kepentingan bioteknologi dalam pertanian dan penternakan:
Bioteknologi menghasilkan tanaman yang berkualiti:
·        Mutasi aruhan menghasilkan baka padi yang lebih baik
·        Padi mempunyai rintangan yang lebih tinggi terhadap penyakit
·        Tumbesaran lebih cepat dan hasil lebih tinggi
·        Kaedah kultur sel dapat membiakkan tanaman dalam kuantiti yang banyak
·        Baka yang baik dapat membekalkan makanan yang mencukupi

Bioteknologi menghasilkan tanaman yang mempunyai rintangan yang lebih tinggi:
·        Ubi kentang New Leaf mempunyai sistem pertahanan yang kebal
·        Ubi kentang ini tidak mudah diserang kumbang kentang Colorado kerana benihnya dihasilkan melalui teknologi genetik
·        Gen yang mempunyai rintangan terhadap serangan penyakit dapat diterapkan dalam baka yang baru
·        Bau yang sering menarik perhatian kumbang juga dikurangkan

Bioteknologi menjamin hasil tanaman tahan lebih lama:
·        Betik Eksotika, pisang Mutan, dan nangka Nadu dihasilkan melalui bioteknologi
·        Betik Eksotika mempunyai tempoh matang tiga minggu lewat daripada betik biasa
·        Pisang Mutan juga dapat bertahan dua bulan sebelum kulitnya bertukar warna; dapat mengeksportnya ke negara Eropah

Bioteknologi menghasilkan baka ternakan yang lebih baik:
·        Baka-baka ternakan terbaik dapat dihasilkan melalui kaedah kimera, teknik in-vitro, permanian berlaras
·        Lembu-lembu tenusu yang menghasilkan susu yang lebih banyak dapat dihasilkan
·        Ayam daging kini membesar dalam masa 51 hari sahaja
·        Ayam telur tanpa kolesterol juga dapat dihasilkan

Bioteknologi menambah pembiakan ternakan:
·        Biri-biri Dolly dihasilkan daripada teknik pengklonan
·        Anak dapat diklonkan daripada sel biri-biri dewasa
·        Melalui teknik in-vitro, haiwan tidak perlu menunggu musim mengawan untuk bunting
·        Di Malaysia, teknik in-vitro meningkatkan pembiakan lembu tenusu dan biri-biri
·        Pembiakan secara besar-besaran dapat dilakukan

Penutup:
Bioteknologi penting untuk memajukan sektor pertanian:
·        Penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini masih kurang memuaskan
·        Kita perlu menggiatkan usaha untuk memajukan bioteknologi tempatan















ISU: PESTISID DAN KAWALAN BIOLOGI

Penggunaan pestisid dalam sektor pertanian  telah menimbulkan pelbagai risiko kepada manusia dan alam sekitar. Kawalan biologi telah dikenal pasti lebih efektif dan mampu menangani risiko yang dihadapi.
Jelaskan keburukan penggunaan bahan kimia dan kebaikan kawalan biologi dalam sektor pertanian.


Pendahuluan:
Bahan kimia telah lama digunakan dalam sektor pertanian:
·        Pestisid digunakan untuk mengatasi masalah serangga dan makhluk perosak dalam sektor pertanian
·        Penggunaan bahan kimia mendatangkan kesan yang buruk
·        Kini kaedah kawalan biologi merupakan kaedah alternatif kepada kelemahan penggunaan bahan kimia

Isi: Penggunaan bahan kimia:
Bahan kimia bertoksik boleh mencetuskan penyakit yang pelbagai:
·        Petani-petani yang terdedah kepada racun serangga perosak akan menghadapi penyakit
·        Petani-petani terhidu racun yang disembur melalui pernafasan
·        Sel paru-paru akan mengalami mutasi, menyebabkan penyakit kanser paru-paru
·        Bahan kimia itu juga boleh menyebabkan penyakit kulit

Penggunaan bahan kimia juga menyebabkan keracunan:
·        Semburan racun serangga perosak berlebihan menyebabkan sayur-sayuran tercemar
·        Buah-buahan disembur dengan banyak ubat pengawet
·        Pengguna yang memakannya akan mengalami keracunan makanan
·        Dalam kes yang lebih serius lagi, mangsa mungkin menemui ajal

Bahan kimia bertoksik juga menyebabkan alahan:
·        Petani jarang memakai pakaian yang menutup seluruh badan dan pelindung muka ketika menyembur racun serangga
·        Mata petani akan buta jika terkena racun serangga perosak
·        Bahan kimia bertoksik akan menyebabkan kulit terkupas; pelbagai penyakit kulit akan muncul
·        Kuku mereka juga menjadi abnormal

Isi: Penggunaan kawalan biologi:
Kitaran ekologi terjamin melalui kawalan biologi:
·        Bahan kimia menjejaskan kesuburan tanah, mencemari laut, dan menjejaskan pembiakan haiwan
·        Serangga pemangsa dan parasitoid dalam kawalan biologi tidak menjejaskan ekologi alam sekitar
·        Serangga pemangsa membunuh serangga perosak tanpa menjejaskan ekologi
·        Serangga lain yang penting dalam proses pendebungaan tidak terganggu

Kawalan biologi juga tidak menyebabkan evolusi genetik serangga:
·        Penggunaan racun serangga menyebabkan serangga perosak lali terhadap bahan kimia
·        Lahirlah generasi serangga perosak yang mempunyai daya tahan tinggi terhadap bahan kimia
·        Rintangan terhadap racun serangga perosak meningkat akibat evolusi genetik
·        Dos racun yang lebih banyak terpaksa digunakan
·        Kawalan biologi tidak akan mendatangkan kesan sedemikian
·        Tanpa bahan kimia, genetik serangga tidak akan mengalami mutasi

Penutup:
Kaedah kawalan biologi memang penting
·        Keseimbangan ekologi alam tidak terjejas jika kaedah ini digunakan sepenuhnya











ISU: KAWALAN BIOLOGI

Dalam sektor pertanian seperti penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, kawalan biologi digalakkan untuk menggantikan penggunaan racun kimia. Hal ini penting kerana kawalan biologi mempunyai kelebihan berbanding dengan racun serangga.
Jelaskan pernyataan ini.


Pengenalan:
Setiap organisma perosak mempunyai pemangsanya:
·        Kawalan biologi bererti menggunakan pemangsa untuk mengawal serangga perosak
·        Kawalan biologi mempunyai kelebihan berbanding dengan penggunaan racun serangga

Isi: Keberkesanan penggunaan kawalan biologi:
Pencemaran alam dapat diatasi:
·        Penggunaan racun serangga perosak akan menyebabkan pencemaran alam
·        Bakteria yang berfaedah terbunuh selanjutnya menyebabkan pencemaran alam
·        Racun kimia akan mencemari sumber air dan tanah
·        Selanjutnya mengancam kelestarian hidup alam sekitar
·        Kawalan biologi tidak melibatkan bahan kimia dan alam sekitar terpelihara

Kehidupan manusia dan haiwan juga lebih terjamin:
·        Sayur-sayuran yang tercemar oleh racun serangga perosak berbahaya jika dimakan
·        Sisa bahan kimia ini akan menyebabkan penyakit barah
·        Racun juga akan menjejaskan pembiakan haiwan
·        Bahan kimia juga mengurangkan kesuburan pembiakan haiwan
·        Serangga pemangsa dan parasit tidak menimbulkan kesan sedemikian

Kawalan biologi tidak menyebabkan evolusi genetik:
·        Penggunaan racun serangga perosak akan menyebabkan fenomena ini
·        Serangga perosak akan lali terhadap kimia yang digunakan
·        Rintangan terhadap racun serangga perosak meningkat akibat evolusi genetik
·        Pengusaha terpaksa menambah dos racun
·        Akibatnya, penggunaan racun serangga perosak mahal dan tidak menguntungkan
·        Kawalan biologi tidak akan mendatangkan kesan sedemikian

Keseimbangan alam juga tidak terjejas:
·        Penggunaan racun serangga perosak menjejaskan habitat semula jadi haiwan
·        Hal ini menyebabkan kematian haiwan dan mikroorganisma
·        Keseimbangan rantai makanan akan terjejas
·        Semua masalah ini tidak akan timbul jika kawalan biologi digunakan
·        Bilangan pemangsa bergantung pada perubahan bilangan serangga perosak
·        Bilangan serangga perosak dapat dikawal dan bukan pupus selama-lamanya

Kawalan biologi adalah selamat, murah, dan menjimatkan masa:
·        Penyembur racun serangga terdedah kepada risiko penyakit barah
·        Selain itu, kosnya juga mahal
·        Dalam kawalan biologi, burung hantu diternak untuk mengawal tikus
·        Kita hanya perlu membekalkan tempat tinggal
·        Burung hantu akan membiak dengan sendiri
·        Hal ini membuktikan kawalan biologi adalah selamat, murah, dan menjimatkan kos

Penutup:
Kaedah kawalan biologi lebih baik daripada penggunaan racun kimia:
·        Walaupun kaedah ini memerlukan masa untuk menampakkan kelebihannya
·        Cara ini lebih menguntungkan dan selamat
·        Penggunaan kawalan biologi harus digalakkan








ISU: APLIKASI TEKNOLOGI DALM BIDANG PERTANIAN

Aplikasi teknologi dalam pertanian mempunyai kelebihan tersendiri untuk memartabatkan bidang pertanian. Bincangkan.


Pengenalan:
Penggunaan teknologi pertanian:
·        Penggunaan teknologi pertanian dalam bidang pertanian akan dapat memajukan bidang pertanian
·        Penggunaan teknologi merangkumi peralatan dan manipulasi kepakaran saintifik

Isi: Kepentingan aplikasi teknologi dalam bidang pertanian:
Teknologi jentera:
·        Pelbagai jentera digunakan untuk melaksanakan proses penanaman dan penjagaan
·        Jentera pembajak atau penuai moden mempercepatkan pengeluaran
·        Mengelak kerosakan pada produk pertanian

Teknologi bio / bioteknologi:
·        Penggunaan aplikasi bio pertanian seperti ubah suai genetik dan sebagainya
·        Teknik pengklonan digunakan untuk tumbuhan dan haiwan akan dapat menambahkan pengeluaran

Teknologi pengeluaran:
·        Teknik penanaman menggunakan pelbagai medium seperti agrokultur dan aeroponik
·        Teknik ini dapat memanipulasi dan mengeksploitasi kawasan yang kecil atau mengatasi masalah kekurangan tanah

Teknologi penyimpanan:
·        Menggunakan aplikasi kreogenetik
·        Teknologi penggudangan

Teknologi pengagihan:
·        Kaedah pengangkutan yang cekap dan berkesan
·        Jalan darat, laut, atau udara

Teknologi pembuatan:
·        Mempelbagaikan hasil produk pertanian seperti pembuatan produk perkilangan
·        Contoh: Nanas dijadikan jem, kek, perisa makanan, dan sebagainya
·        Kepelbagaian produk akhir suatu hasil pertanian akan menambahkan permintaan dan dapat memartabatkan keupayaan teknologi

Teknik penyelidikan dan pembangunan (R&D):
·        Penyelidikan makmal dengan menggunakan aplikasi nuklear seperti mutasi aruhan untuk menambah pengeluaran
·        Teknologi penyimpanan pelbagai benih yang cekap dan selamat

Penutup:
Penyelidikan dan pembangunan sangat penting:
·        Kemajuan negara boleh dipertingkatkan pada masa hadapan
·        Kemajuan yang dinamik dalam bidang ini akan mendorong kemajuan dalam bidang sains dan teknologi
















ISU: MAKANAN SUPLEMEN

Kini, pelbagai jenis makanan suplemen dijual di pasaran. Banyak orang yang mengambil makanan suplemen ini untuk menjamin kesihatan mereka. Akan tetapi, pengambilan tanpa rujukan pakar kesihatan mungkin mendatangkan risiko kesihatan tertentu.
Berikan pendapat anda.


Pendahuluan:
Pemasaran makanan suplemen begitu meluas:
·        Pengambilan makanan suplemen semakin popular
·        Ada golongan tertentu yang memang memerlukan makanan suplemen
·        Akan tetapi, pengambilan makanan suplemen tanpa rujukan pakar kesihatan mungkin mendatangkan risiko kesihatan tertentu

Isi : Keperluan makanan suplemen:
Golongan yang sibuk memang memerlukan makanan suplemen demi menjamin kesihatan:
·        Sesetengah orang sibuk dengan kerjaya masing-masing
·        Golongan ini kekurangan senaman dan aktiviti riadah
·        Mereka juga sentiasa makan di luar
·        Mereka menghadapi masalah kekurangan zat makanan yang seimbang
·        Pil-pil vitamin menjadi pelengkap kepada amalan pemakanan yang tidak seimbang

Pesakit juga memerlukan makanan suplemen:
·        Pesakit beri-beri kekurangan vitamin B
·        Jadi, pil-pil vitamin B perlu diambil dengan banyaknya
·        Pesakit goiter kekurangan khasiat makanan laut
·        Badan mereka juga kurang berupaya untuk menyerap khasiat makanan laut
·        Jadi, makanan suplemen yang kaya dengan iodin penting

Makanan suplemen penting untuk menjamin tumbesaran normal:
·        Pengambilan pil kalsium yang mencukupi membina tulang yang kuat
·        Kadar kehilangan jisim tulang dapat dielakkan
·        Multivitamin dan susu tepung formula menjamin tumbesaran kanak-kanak
·        Sisa dan toksik makanan dalam badan dapat dibersihkan melalui makanan suplemen
·        Bakteria sihat dapat membersihkan toksik dalam kolon usus kita

Isi : Risiko pengambilan makanan suplemen tanpa rujukan:
     Walaupun makanan suplemen banyak kebaikannya, penyalahgunaan makanan ini boleh menyebabkan keracunan:
·        Sesetengah orang mungkin tidak sesuai mengambil makanan suplemen tertentu
·        Makanan suplemen yang mengandungi garam mineral yang berlebihan boleh menyebabkan keracunan
·        Pil-pil vitamin boleh menyebabkan alahan
·        Pengambilan makanan suplemen melebihi dosnya merosakkan sistem saraf
·        Dalam kes yang lebih serius, mangsa mungkin menemui ajal

Kerosakan organ juga boleh berlaku jika makanan suplemen diambil tanpa nasihat doktor:
·        Ramai wanita kini mengambil pil kelangsingan badan
·        Pil ini menggantikan makanan normal
·        Pil ini mendatangkan kesan sampingan seperti kerosakan hati
·        Kerosakan hati amat sukar dirawat dan boleh menyebabkan kematian

Penutup:
Kita harus berwaspada terhadap makanan suplemen yang dijual di pasaran:
·        Kita tidak harus membelinya kalau kita tidak tahu kegunaannya
·        Pengambilan makanan suplemen secara berlebihan bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan kita tetapi juga membazirkan wang







ISU: PENYUSUAN SUSU IBU

Kesedaran ibu-ibu terhadap kepentingan penyusuan bayi mereka dengan susu ibu kian meningkat. Kempen penyusuan susu ibu oleh Kementerian Kesihatan nampaknya membuahkan hasil disebabkan faedah-faedah penyusuan itu kepada bayi dan ibu itu sendiri.
Jelaskan faedah-faedah penyusuan susu ibu.


Pendahuluan:
Susu ialah makanan utama bagi bayi yang baru dilahirkan:
·        Susu ibu mempunyai banyak kelebihan berbanding susu formula
·        Amalan menyusui bayi dengan susu ibu kian berkurang dalam masyarakat kita

Isi: Faedah penyusuan susu ibu:
Susu ibu merupakan makanan terbaik bagi bayi:
·        Susu ibu mengandungi kolostrum
·        Kolostrum kaya dengan protein dan asid amino
·        Hal ini dapat menjamin tumbesaran bayi sepenuhnya
·        Komposisi kandungan bahan kimia dalam susu ibu meningkatkan daya tahan penyakit bayi
·        Susu ibu kaya dengan bahan antibodi dan anti jangkitan

Sebagai kaedah pemulihan selepas bersalin:
·        Penyusuan bayi dengan susu ibu dapat mengurangkan kekerapan ibu melahirkan anak
·        Hal ini merupakan perancangan keluarga semula jadi
·        Amalan ini juga dapat mengurangkan kehilangan darah selepas bersalin
·        Membantu pengecutan rahim dan mengembalikan bentuk badan kepada sedia kala selepas kelahiran anak
·        Amalan ini juga dapat menghindari ibu daripada menghidap barah payu dara

Penyusuan bayi dengan susu ibu merapatkan hubungan psikologi ibu dengan anak:
·        Bayi akan merasai kasih sayang ibu ketika dalam pelukan ibu
·        Hal ini dapat membentuk jiwa bayi yang lebih tenang dan psikologi yang tenteram
·        Sentuhan mesra ibu akan menambah sifat penyayang ibu

Susu ibu sebagai makanan lengkap untuk bayi:
·        Terdapat banyak khasiat dan zat
·        Contohnya: magnesium, kalsium, dan protein

0 comments:

Post a Comment